Tuesday, 25 June 2013

MuTiArA kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

:: Nasihat 1 Hindari sifat Munafiq ::

"Cintailah Dia, beramallah demi-Nya, bukan demi yang lain selain Dia. Takutlah kepada-Nya, jangan kepada yang lain. Semuanya itu dengan hati, bukan dengan cakapan mulut. Itu semua ada dalam khalwat (bathin), bukan dalam jalwat (lahiriah). Jika tauhid di ambang pintu rumah, ternyata syirik bersemayam di dalamnya, maka demikian itu adalah “nifaq” (hipokrit). Hindarilah taqwa di mulut, liar di hati, syukur di lisan dan ingkar di hati. Celaka jika ucapan mulut tidak sama dengan qalbumu"

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 2 Jangan takut selain daripada Allah S.W.T. ::

“Jadilah engkau orang yang berakal, dan janganlah jadi pendusta. Kau mengatakan, “Saya ini takut kepada Allah SWT, tetapi engkau justeru takut kepada selain-Nya. Janganlah engkau takut kepada jin, manusia dan malaikat. Janganlah takut kepada haiwan, baik yang dapat berbicara mahupun yang bisu. Juga jangan takut kepada siksaan dunia mahupun akhirat, tetapi takutlah kepada Zat yang menyiksa.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 3 Ilmu Bermanfaat apabila diamalkan ::

“Ilmu pengetahuan itu tidak bermanfaat apabila tidak diamalkan. Dalam kegelapan, kamu memerlukan sedikit sinar, iaitu hukum Allah yang harus diamalkan hari demi hari, tahun demi tahun sehingga buahnya dapat kamu nikmati.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 4 ::

“Bila qalbu seorang hamba telah sampai (wusyul) kepada Tuhannya, maka Dia menjadikan hamba itu selalu memerlukanNya, mendekati diri kepadaNya, memberikan kedudukan tinggi kepadaNya.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 5 ::

“Orang mukmin yang berjiwa qanaah hanya perlu sedikit saja harta dunia. Ia masuk ke ribaan Tuhannya dengan mengajukan permintaan, permohonan, tawadhuk dan taubat kepadaNya. Bila diberi sesuatu yang ia inginkan, ia bersyukur kepada Allah SWT atas pemberiannNya itu. Bila tidak, ia sabar menerima apa-apa yang menjadi iradahNya, tanpa mengajukan protes dan tanpa menentang. Ia tidak menuntut kekayaan dengan cara menjual agamanya, menampilkan sikap riak dan nifaq, seperti yang kau lakukan hai orang hipokrit.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 6 ::

“Jika kamu memberikan makanan mu kepada para muttaqin serta membantu dia dalam urusan dunia, lalu kamu mendapatkan bahagian pahala dari amal yang ia lakukan, tidak kurang sedikitpun kerana kamu telah menolong niatnya dan telah menghilangkan kesulitannya. Pendek kata, kamu telah mempercepatkan langkahnya ke hadapan Allah Azza Wajalla. Demikian pula jika kamu memberikan makanan mu kepada orang munafik yang nyata dan melakukan maksiat, serta kamu membantunya dalam urusan dunia, bererti kamu akan mendapat siksa dari kejahatannya, tidak kurang sedikitpun kerana kamu telah menolongnya dalam maksiat kepada Allah Azza Wajalla. Tentu saja keburukannya akan kembali kepadamu.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 7 ::

“Saudara! Jika bicara, bicaralah dengan niat yang baik. Jika diam, diamlah dengan niat yang baik. Setiap orang yang tidak berniat dalam beramal, maka tiada berguna baginya amal yang ia kerjakannya itu, amalnya sia-sia. Baik engkau bicara atau diam, kau tetap berdosa sebab engkau tidak membenarkan niatmu, diam dan bicara yang tidak mengikut sunnah.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian


:: Nasihat 8 ::

“Berserahlah diri kepada Allah Azza Wajalla. Bermohonlah kepadaNya untuk memenuhi keperluan-keperluanmu. Janganlah kau kira amal perbuatan yang kau lakukan saat jatuh miskin. Bukalah lebar-lebar pintu hubunganmu dengan Dia. Akuilah segala dosamu. Mohonlah ampun (maghfirah) kepadaNya atas semua kekuranganmu. Yakinilah bahawa tidak ada kemudaratan, tidak ada yang memberi faedah atau memberi anugerah, dan tidak ada yang mampu menolak kenestapaan kecuali Dia. Pada saat-saat itulah buta hatimu lenyap. Mata hatimu telah terbebas dari segala penderitaan.
Saudaraku! sikap itu bukanlah terdapat pada pakaian atau makanan. Sikap itu bersemayam dalam lubuk hati sanubari yang zuhud. Orang yang benar akan mengenakan pakaian sufi dalam batinnya, baru kemudian mengenakannya pada lahirnya. Secara berturut-turut dikenakan pada dirinya, hatinya, jiwanya, dan kemudian anggota-anggota badannya.
Jika semuanya telah berselimut dengan pakaian itu, maka datanglah tangan kasih sayang dan anugerah yang menggantikannya dengan pakaian sukacita, siksaan berganti dengan kenikmatan, kemarahan berganti dengan kesenangan, kekhuatiran berganti dengan ketenteraman, jauh berganti dekat, dan fakir berganti dengan kaya.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 9 ::

“Alangkah baik keadaan orang mukmin di dunia dan di akhirat. Di dunia ia tidak berdukacita segala sesuatu yang ada padanya setelah ia mengetahui bahawa Tuhannya berkenan meredhainya. Di mana saja ia berada, pasti ia menemui bahagiannya dan merasa puas dengan haknya itu. Ke mana saja ia menghadap, ia selalu memandang dengan Nur Allah Azza Wajalla, tiada kegelapan baginya. Semua isyaratnya tertuju kepada Allah Azza Wajalla. Segala pegangan dan tawakalnya juga hanya tertuju padaNya. Hati-hatilah, jangan sekali-kali anda menyakiti orang mukmin sebab penyakit orang mukmin adalah satu racun dalam tubuh orang-orang yang menyakitinya, dan juga merupakan faktor penyebab kefakiran dan disiksaNya..”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 10 ::

“Keberanian musuh (orang-orang kafir) dinilai dari ketabahannya di saat berhadapan dengan mereka. Tetapi, keberanian orang-orang soleh dinilai dari segi ketabahannya di waktu bertemu dengan hawa nafsu, kesenangan, perwatakan syaitan-syaitan dan teman-teman mereka yang sentiasa mengajak berbuat kejahatan. Sedangkan keberanian orang-orang khas (Khawwash) dinilai dari segi “zuhud”nya dalam urusan dunia dan akhirat dan kebergantungannya kepada Allah Azza Wajalla.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 11 ::

“Jika tauhid, ikhlas, makrifat dan mahabah kepada Allah Azza Wajalla telah benar-benar meresap dalam lubuk hatinya, maka datanglah (kepadanya) keteguhan pendirian dan kelonggaran mutlak. Datang pula kepadanya kekuatan raksasa dari Allah Azza Wajalla. Ia, dengan kekuatannya itu, sanggup memikul beban berat makhluk, tanpa payah. Ia mendekati mereka, ia menuntut mereka. Segala kesibukannya hanya untuk kemaslahatan mereka, namun tidak melalaikannya daripada Tuhannya walau sekejap masa. Orang yang zuhud selalu berusaha lari dari makhluk, tetapi orang zuhud yang kamil tidak demikian. Ia tidak berusaha menghindari mereka, kerana ia sudah mencapai darjat arifbillah (makrifat kepada Allah SWT).”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 12 ::

“Celakalah, engkau melakukan perbuaan ahli neraka, tetapi kau mengharapkan syurga. Engkau tamak bukan pada tempatnya. Janganlah kau tergiur dengan barang pinjaman yang kau kira sebagai milikmu sendiri. Sebentar lagi, barang itu akan diambil dari tanganmu. Allah Azza Wajalla telah meminjamkan kehidupan kepada mu, sehingga dengan itu kau patuh kepadaNya. Kehidupan yang pendek merupakan barang pinjaman itu kau anggap sebagaai milik peribadimu, sehingga kau perlakukan semahu mu.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 13 ::

“Wahai orang yang tertipu! Tiang atas kehidupanmu telah retak, dinding kehidupanmu juga telah condong, bahkan rumah yang kamu duduki telah roboh. Kamu harus segera meninggalkannya dan pindah ke tempat lain. Carilah rumah akhirat! Langkahkan kakimu ke sana. Apakah kakinya? Kakinya ialah amal yang baik. Persembahkan hartamu untuk akhirat, supaya kelak kamu boleh mendapatkannya di sana.
Wahai orang yang tertipu oleh gemerlapan dunia! Wahai orang yang sibuk dengan sesuatu yang tidak bererti! Wahai orang yang meninggalkan kemuliaan dan sibuk dengan para hamba! Celakalah menanti kamu!.”

 ~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)


:: Nasihat 14 ::

“Syirik itu ada kalanya dalam lahir dan ada kalanya dalam bathin. Syirik lahir ialah menyembah kepada selain Allah. Adapun syirik bathin ialah menggantungkan nasib kepada sesama makhluk dan menganggap mereka yang mendatangkan bahaya dan manfaat.”

~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Petikan: Al-Fath Ar-Rabbani (Hakikat Pengabdian)