Sunday 4 October 2015

Fruit Basket : Menginspirasi

Menonton anime Fruit Basket, pada episod-episod awalnya (juga episod terakhir), sering membuatkan diri ini sebak, menangis dan berfikir jauh. Betapa kita sebagai manusia ini seringkali menghukum dan menjauhkan diri daripada orang-orang lain yang tidak sehaluan atau berbeza sedikit (atau tidak ada persamaan langsung) daripada kita tanpa cuba memahami apa yang dillalui oleh mereka. Hingga akhirnya, kebanyakan daripada mereka ini merasa putus asa dengan kehidupan.
Tidak ada istilah tersalah jalan, yang ada hanyalah jalan yang jauh atau dekat. Kehidupan itu kadangkala boleh menyakitkan, juga boleh menggembirakan. Kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Setiap detik waktu yang berlalu harus dihargai pengalamannya, baik yang manis ataupun yang pahit. Kerna daripada itulah kita belajar erti kehidupan.
"It's not always easy to see the good in people. In some people, you might even doubt that it's there at all. But if you can somehow, find a way to believe...sometimes that's all it takes to help someone, to give them the strength to find the good in themselves." -Tohru Honda-
Watak Tohru Honda sungguh menginspirasi. 



Tuesday 5 May 2015

Hard Times Come Again No More



Hidup dalam lingkungan manusia yang hanya menilai dan mengukur serta menghukum berdasarkan apa yang mereka lihat dari aspek fizikal semata sangat memenatkan. Hidup seperti itu seolah-olah seperti sang robot. Tidak punyai jiwa dan perasaan, akalnya hanya boleh berfungsi antara rasional atau tidak. Tiada ruang bagi emosi menjelmakan diri. Bukan kerana tidak boleh, tetapi kerana akal yang rasional itu selalu menidakkan hati yang emosional demi menjaga aspek luaran atau fizikal supaya tidak disalah anggap oleh manusia lain. Bunyinya seperti plastik. Benar, kehidupan ini umpama plastik.

Tetapi kehidupan seperti itu biasanya tidak bertahan lama. Akan sampai satu masa, emosi yang ditahan-tahan akan terkeluar juga. Dan apabila saat itu tiba, kau  akan cuba melarikan diri. Jika boleh, ke hujung dunia. Kau mahu mencari sesuatu. Sesuatu yang telah lama hilang dari diri kau. Sesuatu yang tidak boleh kau peroleh jika minda dan hati tidak bersatu.

Iya benar. Kau perlu lari dari hiruk-pikuk kepadatan manusia yang memenatkan. Kau perlu cari tempat yang jauh dengan manusia, tetapi dekat dengan alam semulajadi.

Kerana dengan itu sahaja kau akan menemui apa yang hilang itu.

Sangat banyak kau boleh belajar daripada alam. Makhluk Tuhan selain manusia. Kadang-kadang persoalan tentang kehidupan juga kau akan temui hanya dengan memerhati alam. Tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan berbincang sesama manusia walaupun masalah itu berkenaan manusia.

Aku tidak bersaing dengan sesiapa. Aku hanya mahu bersaing dalam perlawanan aku sendiri. Aku tidak berminat untuk bersaing dalam perlawanan tentang siapa yang lebih bagus, siapa yang lebih mulia, siapa yang lebih baik, siapa yang lebih pandai, dan segala macam siapa. Aku hanya mahu membaiki diriku, supaya lebih baik dari diriku yang sebelum ini. Itulah aku.