Tuesday 5 May 2015

Hard Times Come Again No More



Hidup dalam lingkungan manusia yang hanya menilai dan mengukur serta menghukum berdasarkan apa yang mereka lihat dari aspek fizikal semata sangat memenatkan. Hidup seperti itu seolah-olah seperti sang robot. Tidak punyai jiwa dan perasaan, akalnya hanya boleh berfungsi antara rasional atau tidak. Tiada ruang bagi emosi menjelmakan diri. Bukan kerana tidak boleh, tetapi kerana akal yang rasional itu selalu menidakkan hati yang emosional demi menjaga aspek luaran atau fizikal supaya tidak disalah anggap oleh manusia lain. Bunyinya seperti plastik. Benar, kehidupan ini umpama plastik.

Tetapi kehidupan seperti itu biasanya tidak bertahan lama. Akan sampai satu masa, emosi yang ditahan-tahan akan terkeluar juga. Dan apabila saat itu tiba, kau  akan cuba melarikan diri. Jika boleh, ke hujung dunia. Kau mahu mencari sesuatu. Sesuatu yang telah lama hilang dari diri kau. Sesuatu yang tidak boleh kau peroleh jika minda dan hati tidak bersatu.

Iya benar. Kau perlu lari dari hiruk-pikuk kepadatan manusia yang memenatkan. Kau perlu cari tempat yang jauh dengan manusia, tetapi dekat dengan alam semulajadi.

Kerana dengan itu sahaja kau akan menemui apa yang hilang itu.

Sangat banyak kau boleh belajar daripada alam. Makhluk Tuhan selain manusia. Kadang-kadang persoalan tentang kehidupan juga kau akan temui hanya dengan memerhati alam. Tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan berbincang sesama manusia walaupun masalah itu berkenaan manusia.

Aku tidak bersaing dengan sesiapa. Aku hanya mahu bersaing dalam perlawanan aku sendiri. Aku tidak berminat untuk bersaing dalam perlawanan tentang siapa yang lebih bagus, siapa yang lebih mulia, siapa yang lebih baik, siapa yang lebih pandai, dan segala macam siapa. Aku hanya mahu membaiki diriku, supaya lebih baik dari diriku yang sebelum ini. Itulah aku.

No comments:

Post a Comment